Lelaki dibelasah 'MMA fighter' wanita kerana buat aksi lucah di depannya

Agensi
April 24, 2019 22:56 MYT
Joyce Vieira (kanan), 27 tahun, sedang menjalani sesi fotografi di sebuah pantai di Rio de Janeiro, Brazil, apabila menyedari perbuatan suspek terbabit. - Foto instagram
SEORANG lelaki telah dibelasah oleh seorang petarung MMA wanita selepas didapati beronani ketika wanita itu sedang menjalani sesi fotografi.
Joyce Vieira, 27 tahun, sedang 'berposing' dengan pakaian renang di sebuah pantai di Rio de Janeiro, Brazil, apabila menyedari perbuatan lelaki terbabit.
Ketika dia menghampiri lelaki tersebut, seluar lelaki itu didapati terlondeh sambil melakukan sesuatu yang lucah.
Vieira meminta suspek supaya menghentikan perbuatannya itu, namun lelaki berkenaan enggan berbuat demikian.
Dia juga mencabar wanita tersebut sambil berkata, "Kenapa? Tak suka ya? Datanglah sini."
Berang dengan sikap lelaki tersebut, Vieira terus memberikan satu tendangan ke bahagian badan suspek.
Lelaki itu membalas tendangan tersebut dengan satu tumbukan, yang membuatkan Vieira bertambah marah sekali gus membelasah lelaki terbabit.
"Tumbukannya membuatkan saya lebih marah. Saya rasa nak bunuh dia," katanya seperti dipetik
Folha de São Paulo.
Vieira berkata, lelaki itu mula menjerit dan kemudian melarikan diri.
Suspek yang dikenal pasti sebagai Josinei Ferreira, 27 tahun itu ditahan selepas Vieira membuat laporan polis.
Ferreira telah dituduh melakukan gangguan seksual.
Bagaimanapun, dia dibebaskan selepas mendakwa bahawa dia sedang membuang air kecil dan bukannya beronani.
Kes tersebut masih disiasat.
#beronani #gangguan seksual #Josinei Ferreira #Joyce Vieira #petarung MMA #Rio de Janeiro #seni bela diri
;