Lelaki diarah bayar hampir RM1 juta pampasan kerja rumah selama 25 tahun kepada bekas isteri

Agensi
Mac 10, 2023 08:10 MYT
Mahkamah di Sepanyol mengarahkan seorang lelaki membayar AS$215,000 (RM972,000) kepada bekas isterinya sebagai pampasan untuk kerja rumah yang dilakukannya sepanjang perkahwinan mereka. - Gambar hiasan
MAHKAMAH di Sepanyol mengarahkan seorang lelaki membayar AS$215,000 (RM972,000) kepada bekas isterinya sebagai pampasan untuk kerja rumah yang dilakukannya sepanjang perkahwinan mereka.
Ivana Moral, 48, bakal menerima pencen bulanan sebanyak AS$528 (RM2,400) daripada bekas suaminya yang diceraikan pada tahun 2020, lapor iNews.
Hakim Mahkamah Malaga membuat keputusan itu berdasarkan gaji minimum seorang profesional selama 25 tahun perkahwinan pasangan itu.
Lelaki yang tidak dinamakan itu turut diarah membayar AS$356 (RM1,600) dan AS$533 (RM2,400) kepada dua anak perempuan mereka yang masing-masing berusia 20 dan 14 tahun.
Dia dijangka mengemukan rayuan ke atas keputusan mahkamah berkenaan.
Moral dilaporkan berkata, dia terpaksa berhenti bekerja bagi menguruskan rumah tangga sepanjang perkahwinan mereka, memetik laporan EuroNews.
Dia turut mendakwa bekas suaminya itu enggan membiayai pengajian anak mereka ketika berusia 16 tahun.
"Sepanjang perkahwinan kami, saya menyokong suami saya dalam pekerjaannya dan dalam keluarga saya terpaksa menjadi seorang ibu dan ayah kepada anak-anak kami.
"Saya tidak dibenarkan sama sekali masuk campur dalam hal kewangan suami saya. Segalanya diletakkan atas nama dia," katanya.
Menurut peguam Moral, Marta Kuentes, keputusan mahkamah itu satu kemenangan buat wanita dalam penyokong suami mereka dari segi karier dan rumah tangga.
"Moral terpaksa berhenti bekerja bagi membolehkan suaminya meneruskan kariernya dan menjaga anak-anak mereka.
"Dia ibarat bayang-bayang suaminya, menyokong suaminya supaya dia boleh berjaya," katanya.
#pampasan RM1 juta #pampasan kerja rumah #bekas isteri #Rumah Tangga
;