Lelaki cuba robek perut sendiri selepas tikam mati bekas isteri

Agensi
Disember 16, 2017 12:31 MYT
Suspek mengaku mempunyai niat terancang untuk membunuh bekas isterinya berdasarkan kronologi kejadian. - Gambar fail
Seorang wanita di daerah Wonosobo, Jawa Tengah, Indonesia mati akibat ditikam bekas suaminya gara-gara dia enggan kembali bersama lelaki tersebut.
Portal berita tempatan, Liputan6.com melaporkan, dalam kejadian pada Khamis minggu lalu itu, Walimah, 40, cedera parah akibat ditikam empat kali oleh Suratman, 45, termasuk satu yang tepat menusuk bahagian dada hingga terkena organ dalaman penting.
Mangsa yang kehilangan banyak darah segera dikejarkan ke hospital.
Menurut laporan itu, selepas menikam mangsa, Suratman cuba membunuh diri dengan menikam dan merobek perutnya sendiri menggunakan pisau yang sama.
Dia sempat ditahan pihak polis sebelum meneruskan tindakan itu dan turut dikejarkan ke hospital.
Walimah bagaimanapun, gagal diselamatkan.
Selepas disahkan doktor bahawa keadaannya stabil, suspek dipindahkan ke pusat tahanan markas polis daerah Wonosobo.
Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Wonosobo, Edi Istanto, berkata suspek hilang pertimbangan lantas bertindak membunuh bekas isterinya itu selepas lima kali permintaan rujuknya ditolak oleh mangsa.
Suspek kes bunuh itu mengaku kepada polis bahaa dia berasa sakit hati dengan penolakan tersebut.
Tambah Edi, suspek mengaku mempunyai niat terancang untuk membunuh bekas isterinya berdasarkan kronologi suspek yang meninggalkan rumahnya untuk membeli pisau di pasar, seterusnya menikam mangsa dan mahu membunuh diri.
Suspek akan diadili dan berdepan hukuman mati atas kesalahan tersebut.
#bekas isteri #bunuh #enggan rujuk #Indonesia #Jawa Tengah #suspek #wonosobo
;