Lelaki cuba rampas pesawat, ditembak mati pasukan khas Bangladesh
Asyraf Roslan
Februari 24, 2019 06:02 MYT
Februari 24, 2019 06:02 MYT
Seorang lelaki yang disyaki mencuba merampas pesawat penumpang semasa dalam perjalanan dari Bangladesh menuju ke Dubai, ditembak mati pasukan khas Bangladesh, lapor media tempatan.
Suspek, yang dilaporkan memberi amaran memiliki senjata api, ditembak mati semasa pasukan keselamatan merempuh masuk pesawat tersebut sejurus membuat pendaratan kecemasan di Chittagong.
Kesemua 148 penumpang dan anak kapal di atas pesawat Penerbangan Biman Bangladesh BG147 berjaya dikeluarkan dengan selamat.
Motif suspek cuba merampas pesawat itu masih belum jelas.
Pegawai tentera dilaporkan berkata, suspek yang berusia 25 tahun itu pada mulanya tercedera selepas tembakan dilepaskan pada Ahad, namun dia meninggal dunia tidak lama selepas itu, lapor agensi berita AFP.
"Kami cuba untuk menahan suspek atau memaksa dia serah diri namun dia enggan berbuat demikian sebelum kami melepaskan tembakan," kata Mejar Jeneral Motiur Rahman.
"Suspek merupakan warga Bangladesh. Kami hanya menemui sepucuk pistol pada suspek," tambahnya lagi.
Laporan awal menyebut suspek mungkin mengalami gangguan mental dan menuntut untuk bersemuka dengan Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang pada masa ini berada di Chittagong.
Anak kapal di atas pesawat memaklumkan kehadiran suspek kepada pasukan keselamatan selepas dia memberitahu akan merampas pesawat tersebut, kata jurucakap penerbangan itu seperti dipetik Reuters.
Pesawat tersebut terus dikepung sejurus mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat di Chittagong.
Beberapa foto yang dimuat naik di media sosial menunjukkan orang ramai berkumpul di landasan terbang di lapangan terbang tersebut dengan pesawat Boeing 737-800 itu jelas kelihatan.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Dubai pada Ahad selepas berlepas dari Dhaka.
#Bangladesh
#Bangladesh Biman BG147
#Chittagong
#Lapangan Terbang Antarabangsa Shah Amanat
#pasukan khas
#pesawat
#pistol
#rampas
#Sheikh Hasina
#tembak