Lelaki cemburu hayun kipas siling ke arah anak buah, tanam mayat di balkoni
Agensi
Januari 11, 2019 13:27 MYT
Januari 11, 2019 13:27 MYT
Seorang lelaki telah diberkas polis selepas disyaki membunuh anak buahnya sendiri selepas mensyaki mengsa mempunyai hubungan sulit dengan teman wanitanya.
Media tempatan pada Khamis melaporkan, insiden dipercayai berlaku tiga tahun lalu di Delhi, India.
Ketika itu suspek Bijay Kumar Maharana, 37 tahun, seorang pakar teknologi dan maklumat dilaporkan telah berpindah ke Delhi bersama teman wanitanya sebelum anak buahnya, Jai Prakash datang menumpang di flat yang sama.
Lama-kelamaan, Jai Prakash didakwa mula mesra dengan teman wanita Bijay dan itu menyebabkan suspek cemburu dan marah.
Pada Februari 2016, suspek dipercayai telah menghayun motor kipas siling yang rosak ke kepala mangsa yang sedang tidur.
Mayat mangsa kemudiannya telah ditanam di tanah laman yang terletak di balkoni suspek. Beliau kemudian 'menghiasi' ruang itu dengan pokok renek bagi mengelakkan rasa curiga.
Laporan kehilangan mangsa dibuat suspek seminggu kemudian selepas mangsa dikatakan tidak pulang daripada rumah rakannya.
Suspek tinggal untuk dua bulan di flat yang sama sebelum berpindah ke bandar lain dan kemudiannya menetap di Hyderabad.
Hanya sehingga tahun lalu, rangka mangsa ditemui apabila penghuni baharu membaik pulih rumah berkenaan.
Rangka ditemui dibungkus dengan jaket berwarna biru, baju, selimut dan tilam lembut.
Pihak polis mula memburu mangsa yang menghilangkan diri dan gagal dikesan.
Selepas permerhatian, akhirnya suspek dikesan di Hyderabad.
Suspek dibawa ke Delhi dan dijangka akan didakwa atas kesalahan membunuh.