Lelaki cedera parah, dua anjing mati diserang tiga ekor harimau

Agensi
Januari 30, 2022 06:25 MYT
Selepas serangan itu, Taman Negara Khao Laem mengerahkan kira-kira 10 renjer untuk memeriksa tempat kejadian dan mengawal kawasan itu bagi mengelak haiwan itu menyerang penduduk setempat.
SEORANG lelaki cedera parah manakala dua ekor anjing maut selepas diserang tiga ekor harimau di hutan Taman Negara Khao Laem dalam daerah Thong Pha Phum, Thailand.
Serangan pada hari Jumaat itu menyebabkan pegawai Taman Negara Khao Laem melarang kemasukan ke kawasan hutan berhampiran anak sungai Pilok-Samathor dan hutan berhampiran selama 90 hari atas sebab keselamatan.
Memetik laporan Bangkok Post, mangsa merupakan seorang penduduk tempatan, dikenali sebagai Wan, 46, kata Niphon Chamnongsirisak, pengarah Protected Area Regional Office 3 (Ban Pong).
Menurutnya, mangsa difahamkan meninggalkan kampungnya kira-kira jam 9 pagi pada Jumaat untuk mencari sembilan ekor kerbaunya yang sedang meragut rumput di dalam Taman Negara Khao Laem.
Niphon berkata, jarak rumah mangsa dengan kawasan itu adalah kira-kira empat kilometer dan ketika kejadian, mangsa ditemani tiga ekor anjing peliharaannya.
Sekitar waktu tengah hari, Wan menyedari tiga ekor harimau sedang meluru dan menyerangnya.
“Mangsa berjaya memanjat pokok untuk menyelamatkan diri tetapi dua daripada tiga anjingnya diserang oleh harimau itu dan membaham,” kata Niphon.
Tambahnya, selepas harimau itu berundur, Wan turun dari pokok dan menaiki salah seekor kerbaunya untuk pulang ke rumah.
“Dalam perjalanan, dia terserempak dengan seorang kawan dan meminta bantuan. Dia kemudian dibawa ke kampung sebelum kes itu dilaporkan kepada pihak berkuasa,” ujarnya.
Di tubuh Wan, terdapat sekurang-kurangnya 20 luka, sebahagian daripadanya serius - di leher, tangan, lengan, kaki dan muka dan dia kini dirawat di Hospital Thong Pha Phum.
Selepas serangan itu, Taman Negara Khao Laem mengerahkan kira-kira 10 renjer untuk memeriksa tempat kejadian dan mengawal kawasan itu bagi mengelak haiwan itu menyerang penduduk setempat.
Buat masa ini, penduduk tidak dibenarkan memasuki kawasan hutan di dua taman negara itu.
Sekiranya masih ingin masuk, mereka memerlukan kebenaran daripada ketua taman dan akan diiringi oleh renjer, kata Niphon.
#harimau #serangan #cedera parah #hutan