Lelaki campak isteri dari tingkat empat

Agensi
Mac 21, 2019 09:18 MYT
Lelaki bernama Wan dilaporkan mencampak isteri dari tingkat empat selepas kedua-duanya bergadung di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan. Foto Youtube
Seorang lelaki Cina warganegara Amerika Syarikat (AS) dilaporkan melompat dari tingkat empat setelah mencampak isterinya dari tingkat yang sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan pada Isnin.
Akibatnya lelaki yang dikenali sebagai Wan, 32, mengalami patah tulang rusuk manakala isterinya, Chang, 33, pula dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedar diri.
Menurut polis tempatan, insiden itu berlaku di tangga berhampiran balai pelepasan Terminal 2 di mana Wan dijangka bertolak pulang ke AS.
Berdasarkan rakaman litar tertutup pasangan itu didapati bertengkar dan apabila mereka menghampiri tangga, lelaki terbabit mengangkat isterinya lalu mencampaknya ke bawah.
Wanita itu dilaporkan terhentak ke dinding dan objek lain sebelum jatuh ke dalam jaring keselamatan di tingkat satu lalu tidak menyedarkan diri.
Sejurus selepas mencampakkan isterinya, Wan juga melompat dari tingkat yang sama.
Memetik laporan portal China Post, pertengkaran pasangan suami isteri itu berlaku kerana si isteri menghalang suaminya daripada kembali ke AS setelah bercuti di Taiwan sejak sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari lalu.
Susulan itu, Wan kini dalam siasatan polis kerana didakwa membunuh.
#Amerika Syarikat #Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan #Tahun Baru Cina #Taiwan