Lelaki bunuh MP Britain, Jo Cox dibicara November depan

Agensi
Jun 23, 2016 11:29 MYT
Cox, graduan Universiti Cambridge pernah bertugas sebagai pekerja bantuan sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Batley dan Spen pada 2015. - Gambar fail
Suspek kes pembunuhan ahli Parlimen Parti Buruh, Jo Cox yang maut selepas ditembak seminggu menjelang kempen pungutan suara Brexit di United Kingdom akan dihadapkan ke mahkamah pada November depan di bawah undang-undang anti-pengganas, kata hakim pada Khamis.
Thomas Mair, 52, membuat penampilan ringkas dalam sebuah video di mahkamah jenayah pusat di Old Bailey, London, dan ditemuramah dari penjara hanya untuk mengesahkan nama beliau, ketika warga UK dan Komanwel di negara itu keluar mengundi pada hari ini untuk menentukan sama ada negara berkenaan akan kekal atau keluar dari Kesatuan Eropah (EU).
Mair didakwa melakukan pembunuhan dan memiliki senjata api. Kes tersebut dibicara bawah ‘protokol pengganas’.
Dalam perbicaraan pertamanya pada Sabtu lepas, Mair memperkenalkan diri beliau sebagai, ‘kematian kepada pembelot, kebebasan buat Britain.’
Cox, 41 tahun dan mempunyai dua orang anak ditembak dan ditikam di luar perpustakaan Birstall ketika mahu menghadiri satu mesyuarat.
BACA: Suspek bunuh Ahli Parlimen UK menghidap sakit mental
BACA: Brexit bahaya masa depan Britain, ibarat 'cederakan diri sendiri' - EU
BACA: Kekal atau keluar EU? Warga Britain mengundi dalam pungutan suara
Majoriti Ahli Parlimen dan ahli politik termasuk Perdana Menteri David Cameron, Jeremy Corbyn dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry memberi penghormatan kepada Cox dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya.
Jadual kempen pungutan suara Brexit yang sepatutnya dihadiri Cox dan pemimpin Parti Buruh lain digantung sementara susulan kematian pemimpin wanita berkenaan.
Sementara itu, suami Cox, Brendan berkata, mendiang mahu rakyat bersatu memerangi jenayah kebencian yang menjadi penyebab pembunuhannya.
Cox, graduan Universiti Cambridge pernah bertugas sebagai pekerja bantuan sebelum dipilih menjadi Ahli Parlimen Batley dan Spen pada 2015.
Beliau cukup dikenali sebagai pejuang hak wanita dan aktif dalam beberapa kerja amal.
Cox merupakan Ahli Parlimen pertama yang masih dalam perkhidmatan yang dibunuh sejak 1990.
Hakim John Saunders menetapkan perbicaraan sementara pada 14 November depan dengan tarikh rayuan pada 4 Oktober.
Tarikh perbicaraan Mair ditetapkan pada 19 September.
#Jo Cox #kempen pungutan suara Brexit #Thomas Mair