Lelaki bunuh dua wanita pada 1996 jalani suntikan maut
Sinar Harian
Oktober 4, 2023 10:00 MYT
Oktober 4, 2023 10:00 MYT
MIAMI : Seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) yang membunuh dua wanita pada 1996 menjalani hukuman mati secara suntikan maut pada Selasa.
Michael Zack, 54, dihukum mati di Penjara Negeri Florida di bandar Raiford, lapor Pensacola News Journal.
Tambah laporan itu, suntikan maut itu diberikan pada jam 6.02 petang (waktu tempatan) dan Zack disahkan meninggal dunia 12 minit kemudian.
Zack dijatuhi hukuman mati pada 1997 kerana jenayah serangan seksual, rompakan dan pembunuhan pada Jun 1996 ke atas Ravonne Smith yang ditemuinya di sebuah bar.
Dia juga disabitkan dengan pembunuhan Lara Rosillo yang dikenalinya di sebuah bar lain.
Peguam bela Zack telah berusaha untuk menyekat pelaksanaan hukuman mati itu dengan alasan anak guamnya mengalami sindrom alkohol fetal dan kurang upaya intelek.
Bagaimanapun, rayuannya telah ditolak oleh kedua-dua mahkamah rendah dan Mahkamah Agung.
Terdapat enam hukuman mati di Florida tahun ini dan 19 di seluruh AS. - AFP/ Sinar Harian