Lelaki bertopeng lepaskan tembakan, 11 pengunjung bar maut
Asyraf Roslan
Mei 20, 2019 10:43 MYT
Mei 20, 2019 10:43 MYT
Sekurang-kurangnya 11 terbunuh manakala seorang lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan di dalam sebuah bar yang sarat dengan pengunjung di utara Brazil pada Ahad.
Menurut Jabatan Keselamatan Awam Utara, kejadian berlaku di Bandar Belem yang dilakukan oleh tujuh orang lelaki bersenjata.
Kumpulan terbabit yang dikatakan bertopeng hadir dengan kenderaan kereta dan motosikal sebelum melepaskan tembakan.
Menurut beberapa video yang tersebar di media sosial, mayat mangsa bergelimpangan di kawasan meja.
Buat masa kini, pihak polis tiada sebarang komen mengenai motif sebalik serangan tersebut dan identiti mangsa turut tidak didedahkan.
Menurut laporan media tempatan, pihak polis telah menahan seorang suspek manakala seorang lagi cedera manakala yang lain berjaya melarikan diri.
Dalam serangan bersenjata tersebut, lima wanita dan enam orang lelaki dipercayai terbunuh.
Kejadian berlaku di kejiranan Guamá, kawasan yang sering dilanda keganasan dan pembunuhan.