Lelaki bersenjata pisau ditembak mati di Australia

Bernama
Julai 28, 2024 03:40 MYT
Polis Australia menembak mati seorang lelaki berusia 34 tahun yang bersenjatakan pisau dalam kejadian di Middleton Grange. - Gambar hiasan
SYDNEY: Polis Australia menembak mati seorang lelaki berusia 34 tahun yang bersenjatakan pisau dalam kejadian di Middleton Grange, sebuah kawasan barat daya Sydney di New South Wales (NSW) pada Sabtu malam, lapor Xinhua.
Polis NSW dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan perkhidmatan kecemasan menerima panggilan kira-kira 11 malam waktu tempatan dan bergegas ke tempat kejadian selepas mendapat laporan seorang lelaki disyaki bersenjatakan pisau.
Menurut polis, anggotanya yang tiba di tempat kejadian telah diugut oleh suspek. Maklumat awal menunjukkan seorang pegawai lelaki berusia 33 tahun telah terkena pisau tetapi dilindungi oleh jaket keselamatannya. Pegawai polis itu tidak mengalami kecederaan fizikal.
Polis berkata senjata renjat (taser) telah digunakan tetapi tidak berkesan, dan lelaki itu akhirnya ditembak oleh polis.
Polis memberikan bantuan CPR sehingga ketibaan paramedik, yang turut memberikan bantuan kecemasan kepada lelaki itu. Namun, dia tidak dapat diselamatkan.
-- BERNAMA
#tembak mati #senjata pisau #Middleton Grange #Sydney