Lelaki bersenjata ditahan berhampiran perhimpunan Trump di California
Bernama
Oktober 14, 2024 13:00 MYT
Oktober 14, 2024 13:00 MYT
WASHINGTON: Seorang lelaki yang memiliki dua senjata api berisi peluru serta pasport palsu ditahan berhampiran perhimpunan bekas Presiden Donald Trump di Coachella, California pada Sabtu, lapor United Press International (UPI), memetik kenyataan pihak berkuasa.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki bernama Vem Miller, 49, ditahan di Coachella, California, dengan dua senjata api berisi peluru dan pasport palsu, sebelum perhimpunan bekas Presiden Donald Trump.
- Miller memandu SUV hitam dengan nombor pendaftaran palsu dan didapati membawa sepucuk pistol, senapang patah, serta magazin berkapasiti tinggi di pusat pemeriksaan keselamatan. Dia ditahan tanpa insiden dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak AS$5,000.
- Pegawai persekutuan menyatakan tiada bukti menunjukkan insiden itu berkaitan dengan cubaan bunuh, walaupun Sheriff Riverside County, Chad Bianco menyatakan bahawa penahanan mungkin telah mencegah cubaan ketiga terhadap Trump.
Suspek yang dikenali sebagai Vem Miller, 49, memandu sebuah SUV hitam dengan nombor pendaftaran palsu, didapati membawa sepucuk pistol dan senapang patah ketika di pusat pemeriksaan keselamatan.
Anggota polis menemukan kedua-dua senjata api itu bersama "magazin berkapasiti tinggi."
Menurut Sheriff Riverside County, Chad Bianco Miller ditahan tanpa sebarang insiden yang tidak diingini pada 5 petang waktu tempatan, kira-kira sejam sebelum perhimpunan Trump dijadualkan bermula.
Dia menghadapi dua pertuduhan berkaitan senjata api dan dibebaskan dengan jaminan sebanyak US$5,000.
Setakat ini, tiada pertuduhan persekutuan difailkan. Pegawai menyatakan bahawa sebarang pertuduhan persekutuan, jika ada, hanya boleh difailkan oleh agensi persekutuan
Dalam sidang media pada Ahad, Sheriff Bianco tidak memberikan butiran lanjut mengenai insiden itu.
Sementara itu, seorang pegawai penguatkuasa undang-undang persekutuan memberitahu CBS News bahawa tiada bukti menunjukkan insiden kali ini berkaitan dengan cubaan bunuh.
Sebagai calon presiden Parti Republikan, Trump kini berdepan saingan sengit dengan Naib Presiden Kamala Harris, calon Demokrat.
Sejak debat antara keduanya awal Oktober lalu, Trump dilihat semakin kerap mengeluarkan kenyataan yang sering kali palsu dan berbaur provokasi semasa kempen dan ketika membuat penampilan media.
Trump terus menyemarakkan sentimen anti imigran dengan mendakwa bahawa pendatang Haiti di Springfield, Ohio, memakan haiwan peliharaan penduduk setempat, dakwaan yang dinafikan oleh Datuk Bandar Springfield.
Ini merupakan insiden ketiga melibatkan senjata api berhampiran acara Trump. Kali pertama melibatkan cubaan bunuh semasa perhimpunan di Butler, Pennsylvania, manakala dalam kejadian kedua, Perkhidmatan Rahsia mengesan senjata tersembunyi di dalam semak ketika Trump bermain golf di Florida.
Pegawai persekutuan menjelaskan bahawa tiada bukti jelas yang menunjukkan insiden di Coachella mempunyai kaitan dengan cubaan pembunuhan yang dirancang, namun mereka tidak menolak kemungkinan itu.
-- BERNAMA