Lelaki bersenjata di pejabat pos Paris ditahan, tebusan dibebaskan
AFP
Januari 16, 2015 22:03 MYT
Januari 16, 2015 22:03 MYT
Seorang lelaki yang bertindak menyerbu sebuah pejabat pos di kota Paris sebentar tadi berjaya ditahan polis.
Dia dilaporkan menyerah diri manakala semua tebusan dibebaskan dengan selamat.
“Tiada serangan berlaku, suspek telah menyerah diri,” kata sumber.
Semua tebusan dilaporkan terkejut namun tidak mengalami kecederaan.
Terdahulu, suspek yang lengkap bersenjatakan bom tangan dan senapang Kalashnikov itu menyerang pejabat pos itu dan menahan dua pelanggan sebagai tebusan.
Pihak polis bertindak mengepung seluruh kawasan kejadian yang terletak di Colombes, sebuah bandar di barat laut Paris.
Setakat ini pihak polis masih belum dapat mengesahkan sama ada kejadian kali ini ada kaitan dengan insiden serangan pada minggu lepas.
Paris minggu lalu dikejutkan dengan beberapa siri serangan oleh kumpulan militan yang telah mengorbankan 17 nyawa.