Lelaki bersenjata cetus suasana panik, tawan kasino di Manila
Agensi
Jun 1, 2017 07:08 MYT
Jun 1, 2017 07:08 MYT
Sekurang-kurangnya 25 pengunjung cedera apabila seorang lelaki bersenjata dan bertopeng melepaskan tembakan di sebuat kasino dan hotel di Manila, Filipina tengah malam tadi.
Dalam kejadian di Resorts World Manila itu, lelaki terbabit turut membakar meja judi menyebabkan suasana panik dan orang ramai bertempiaran lari.
Insiden memaksa pihak berkuasa segera mengerah pasukan polis khas ke lokasi berkenaan.
Namun pihak keselamatan Filipina berjaya mengawal semula sebuah kasino yang ditawan beberapa jam kemudian selepas membuat kepungan.
Menurut saksi, bunyi tembakan dan letupan kuat dapat didengari dari bangunan yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa of Ninoy Aquino dan pangkalan tentera udara Filipina.
Kedua-duanya segera ditutup kerana kebimbangan berkemungkinan ada anggota militan yang dapat melarikan diri.
Ketua Polis Filipina Ronald Dela Rosa dalam satu kenyataan bagaimanapun percaya insiden tiada kaitan dengan serangan pengganas dan ia ada kaitan dengan cubaan merompak. Menurut beliau, suspek sehingga kini belum berjaya dikesan.
Katanya, lelaki bersenjata terbabit tidak mensasarkan tembakan kepada pengunjung dan berkemungkinan hanya berhasrat merompak cip judi.
Dela Rosa menyifatkan lelaki terbabit sebagai seorang warga asing berketurunan Caucasian dan berketinggian 6 kaki selain berbahasa Inggeris.
Tambahnya, suspek berkungkinan berjaya meloloskan diri di tengah-tengah asap tebal dan gagal dikesan Kamera Litar Tertutup (CCTV).
Sementara itu, Ketua Polis Manila Oscar Albayalde berkata seorang mangsa telah berjaya dibawa keluar, namun keadaannya masih belum dipastikan. Lelaki bersenjata itu katanya, masih belum dapat ditangkap dan semua tetamu telah berjaya diselamatkan.
Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 30 cedera dengan ramai daripadanya cedera ketika bersesak-sesak melarikan diri.