Lelaki berpedang serang orang awam di London, lima cedera

Agensi
April 30, 2024 17:59 MYT
Dalam insiden yang berlaku pada jam 7 pagi waktu tempatan, lima mangsa termasuk dua pegawai polis dikejarkan ke hospital berdekatan susulan serangan berkenaan - Foto AP
SATU serangan bersenjatakan pedang dilapor berlaku berdekatan stesen keretapi bawah tanah di Hainault, timur laut London, menyebabkan sekurang-kurangnya lima cedera akibat ditikam.
Dalam insiden yang berlaku pada jam 7 pagi waktu tempatan, lima mangsa termasuk dua pegawai polis dikejarkan ke hospital berdekatan susulan serangan berkenaan.
Memetik laporan media antarabangsa, polis menyifatkan insiden tersebut sebagai menakutkan, dengan suspek lelaki dipercayai membawa pedang besar sebelum bertindak menyerang orang awam.
Menurut polis, suspek memandu sebuah kenderaan dan merempuh sebuah rumah sebelum bertindak menikam beberapa individu.
Difahamkan, suspek lelaki terbabit berusia 36 tahun itu telah berjaya ditahan pihak polis.
Dalam masa sama, pasukan bomba dan penyelamat serta beberapa ambulans turut berada di lokasi kejadian.
Setakat ini, keadaan mangsa yang cedera tidak diketahui.
#Serangan pedang #London pedang #Hainault
;