Lelaki bakar diri protes pengebumian negara Shinzo Abe

Astro Awani
September 21, 2022 11:30 MYT
Anggota polis dan bomba memeriksa kawasan di mana seorang lelaki bertindak membakar diri berdekatan dengan pejabat Perdana Menteri Jepun. - Foto AP
TOKYO: Seorang lelaki bertindak membakar diri berdekatan dengan pejabat Perdana Menteri Jepun pada Rabu.
Menurut media tempatan, tindakan lelaki tersebut berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan mengadakan upacara pengebumian negara untuk bekas Perdana Menteri Shinzo Abe yang dibunuh pada awal tahun ini.
Lelaki tersebut telah dibawa ke hospital selepas melecur di seluruh badan untuk mendapat rawatan.
Anggota polis yang cuba memadamkan api bagi menyelamatkan lelaki itu turut cedera.
Lelaki yang berusia dalam lingkungan 70-an itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri namun kemudian memberitahu polis dia sengaja menyiram dirinya dengan minyak, lapor media tempatan.
Sepucuk surat yang tertulis "Saya menentang upacara pengebumian negara untuk Shinzo Abe" ditemui berdekatan dengan lelaki berkenaan.
Upacara pengebumian negara untuk Abe, yang ditembak mati pada Julai 8 ketika berkempen, dijadualkan akan berlangsung pada 27 September ini.
#Shinzo Abe #upacara pengebumian negara #bakar diri #pejabat perdana menteri
;