Lelaki 'ada masalah kewangan' mohon maaf sebelum rompak bank
Kohilah Sekaran
September 9, 2017 16:54 MYT
September 9, 2017 16:54 MYT
“SAYA minta maaf, saya ada masalah kewangan,” itulah yang dikatakan oleh seorang perompak kepada juruwang Thanachart Bank, Thailand sebelum membawa lari wang tunai sebanyak 270,000 Baht (RM34,250).
Menurut portal The Nation, perompak bersenjata itu mengambil masa kira-kira satu minit untuk merompak bank cawangan Bang Khlo Laem pada jam 8.52 pagi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Metropolitan, Pol Maj-Jeneral Surachai Kuandechakup berkata suspek mendekati juruwang dengan pistol dan memintanya menyerahkan wang tunai.
"Suspek meminta maaf kepada juruwang tersebut dan berkata bahawa dia mempunyai masalah kewangan," jelas Surachai.
Tambah Surachai, suspek masuk ke dalam bank seperti pelanggan biasa, jadi mudah untuk dia melarikan diri.
Polis Wat Phrayakrai sedang memeriksa kamera keselamatan bank untuk mengenal pasti perompak tersebut.