Leka bergambar, kakitangan zoo berjaya selamatkan remaja jatuh dalam kandang panda

Faida Rahim
Disember 12, 2022 05:00 MYT
Kakitangan berjaya mematikan wayar elektrik yang kami gunakan untuk melindungi kawasan dan menggunakan tangga untuk menyelamatkan remaja itu. - Gambar hiasan/PEXELS
ADELAIDE: Seorang remaja berjaya diselamatkan selepas masuk ke kandang panda gergasi di Zoo Adelaide untuk mendapatkan telefon pintarnya.
Memetik laporan The Guardian, remaja itu sedang asyik merakam video haiwan itu sebelum telefon pintarnya jatuh ke dalam hutan buluh, semalam.
Ketua eksekutif Zoos SA, Elaine Bensted memaklumkan kakitangan di lokasi berjaya mematikan wayar elektrik yang dipasang untuk melindungi kawasan.
"Remaja itu memberitahu berlaku sedikit kekebasan di jarinya selepas tersentuh wayar elektrik tetapi kami gembira memaklumkan dia dalam keadaan baik.
"Kakitangan berjaya mematikan wayar elektrik yang kami gunakan untuk melindungi kawasan dan menggunakan tangga untuk menyelamatkan remaja itu," katanya.
Tambahnya sebagai langkah berjaga, remaja itu dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut.
Difahamkan, panda gergasi Wang Wang dan Fu Ni tidak kelihatan semasa kejadian itu dan tiada panda lain yang cedera.
Dalam pada itu, kawasan di sekitar kandang panda kembali dibuka 30 minit selepas kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dan pihak pengurusan zoo akan menyemak semula protokol dan prosedur keselamatan.
#Panda #Zoo Adelaide #panda gergasi #Wang Wang
;