Legenda badminton Indonesia Verawaty Fadjrin meninggal dunia akibat kanser

Bernama
November 21, 2021 14:28 MYT
Pemergian Verawaty meninggalkan suami, Fadjriansyah Bidoein, seorang anak lelaki, Fidyan Dini, dan dua cucu. - Facebook \ Indonesia Badminton Players
JAKARTA: Legenda badminton Indonesia, Verawaty Fadjrin, meninggal dunia pagi Ahad pada usia 64 tahun selepas beberapa tahun bertarung dengan penyakit kanser paru-paru.
Pengerusi Persatuan Badminton Indonesia Agung Firman Sampurna melahirkan rasa sedih atas pemergian bekas pemain badminton yang hebat itu.
"Beliau merupakan pemain yang banyak menyumbang kepada pencapaian badminton Indonesia di pentas dunia," katanya seperti dipetik Antara.
Presiden Joko Widodo di akaun Twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Verawaty.

Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Turut berdukacita atas berpulangnya legenda bulutangkis putri Indonesia, Ibu Hj. Verawaty Fajrin, pagi ini, di Jakarta. Semoga amal ibadah almh. mendapatkan ganjaran yang setimpal dari Allah SWT, dan keluarga yang ditinggalkan kuat dan sabar. pic.twitter.com/LffmoINL2a

— Joko Widodo (@jokowi) November 21, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Verawaty, meninggalkan suami Fadjriansyah Bidoein, seorang anak lelaki Fidyan Dini dan dua cucu.
Beliau merangkul gelaran antarabangsa bermula dari akhir 1970-an hingga hujung 1980-an, termasuk Kejohanan Dunia IBF 1980 menewaskan rakan senegara Ivana Lie dan Terbuka Indonesia pada 1982.
Selain itu, beliau juga pernah menjuarai acara beregu wanita di temasya Sukan Asia (1978), All England (1979) dan Sukan Asia Tenggara (1981).
Penampilan terakhirnya di pentas antarabangsa ialah ketika membantu Indonesia menundukkan Korea Selatan, 3-2 pada gelanggang akhir Piala Sudirman 1989.
-- BERNAMA
#Verawaty Fadjrin #legenda badminton indonesia #kanser #Joko Widodo
;