John Glenn, lelaki yang telah melakar sejarah sebanyak dua kali sebagai warga Amerika yang pertama mengelilingi bumi dan warga emas pertama menjelajah angkasa lepas telah meninggal dunia pada Khamis, pada usia 95 tahun.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) merupakan antara yang pertama memberikan penghormatan kepada Glenn, yang telah lebih dua dekad berkhidmat sebagai senator, dengan menggelarkan beliau 'Wira Amerika Sejati'.

Menurut Hank Wilson, jurucakap bagi Bahagian Hal Ehwal Awam di Kolej John Glenn, Glenn telah menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kanser James di Colombus, Ohio.

Punca dan butiran lanjut kematiannya tidak diberikan.

“Dengan pemergian John, negara telah kehilangan ikon, Michelle dan saya telah kehilangan seorang rakan,” Jelas Presiden Barack Obama dalam sebuah kenyataan.

“Apabila John Glenn berlepas dari Cape Canaveral dengan roket Atlas pada 1962, beliau telah menjulang harapan negara.

Angkasawan dan warga emas yang telah melalui zaman dua peperangan ini telah mengalami kemerosotan kesihatan, menjalani pembedahan untuk menggantikan injap jantung pada 2014 dan kemeudian dilaporkan menghidap strok, serta telah dimasukkan ke wad kanser di Colombus lebih seminggu yang lalu.

“Walaupun beliau telah menjelajah jauh sehingga ke angkasa lepas, setinggi Bukit Capitol, hatinya tidak pernah terpesong dari asal usulnya di Ohio,” kata John Kasich, Gabenor bagi kediaman Glenn dalam sebuah ucapan penghormatan buat legenda itu,

“Tidak banyak wira yang masih ada.

“Juruterbang pesawat tempur Perang Dunia Kedua dan Perang Korea. Kolonel Marin. Angkasawan NASA. Senator. Berkahwin selama 73 tahun," ,” kata ahli astrofizik Neik deGrasse Tyson, melalui akaun Twitternya.