Lebuh raya tergantung di Itali runtuh, lebih 10 dikhuatiri maut
Agensi
Ogos 14, 2018 21:42 MYT
Ogos 14, 2018 21:42 MYT
Sebuah lebuh raya gantung runtuh di bandar pelabuhan utara Itali di Genoa dan telah menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang maut.
Menurut pegawai jabatan bomba, angka korban dikhuatiri meningkat dan masih ada mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.
Memetik laporan antarabangsa, insiden tersebut berlaku sekitar jam 11.30 pagi waktu tempatan selepas hujan lebat melanda.
Menteri Pengangkutan Itali, Danilo Toninelli dalam posting di Twitter peribadinya menyifatkan kejadian malang itu sebagai satu tragedi besar yang pernah terjadi di bandar itu.
Menurut saksi kejadian, dia menyaksikan sendiri kejadian lapan hingga sembilan buah kenderaan terjatuh dari lebuh raya gantung itu dan menyifatkan ia sebagai "apocalyptic scene".
Sementara itu, sebahagian daripada lebuh raya gantung tersebut runtuh dari ketinggian 50 meter ke dalam sungai.
Lebuh raya gantung berukuran 1.2 kilometer tersebut merupakan lebuh raya utama yang menghubungkan bandar Itali dan daerah selatan Perancis.