Lebihkan kos peralatan COVID-19, Ketua CDC Hanoi dipenjara
Agensi
Disember 12, 2020 07:51 MYT
Disember 12, 2020 07:51 MYT
HANOI: Mahkamah Vietnam pada Sabtu menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun kepada Ketua Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Hanoi.
Hukuman itu dibuat setelah mendapati tertuduh bersalah melakukan kesalahan yang berkaitan dengan pemerolehan peralatan yang bertujuan untuk membantu menangani wabak COVID-19.
Nguyen Nhat Cam, 57, dituduh melebih-lebihkan kos sistem pengujian COVID-19 semasa melakukan transaksi, menyebabkan kerugian sebanyak 5.4 bilion dong (RM945,300) kepada belanjawan negara.
Kementerian Keselamatan Awam dalam satu kenyataan berkata kegiatan Cam dan rakan-rakannya akan memberi kesan negatif terhadap imej doktor dan agensi anti-COVID-19 yang menimbulkan kemarahan orang ramai dan menjejaskan keyakinan terhadap sektor penjagaan kesihatan.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara terhadap sembilan individu lain antara tiga hingga enam setengah tahun kerana terlibat dalam perkara itu.
Dengan tindakan kuarantin dan pengesanan kontak rapat, Vietnam berjaya mengawal penularan koronavirus.
Setakat ini negara itu merekodkan 1,395 kes dengan hanya 35 kematian.
#COVID-19
#Vietnam
#mahkamah
#koronavirus
#penjara 10 tahun
#Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit
#Nguyen Nhat Cam
#sistem pengujian