Lebih setengah penduduk Sudan Selatan alami kelaparan

Bernama
Disember 12, 2023 04:45 MYT
Dianggarkan 1.6 juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan atau malnutrisi yang serius hingga Jun 2024, menurut pejabat itu. - Gambar fail/REUTERS
NEW YORK: Lebih separuh daripada penduduk Sudan Selatan mengalami kelaparan, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Isnin, lapor Xinhua.
Sementara itu, dianggarkan 1.6 juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan atau malnutrisi yang serius hingga Jun 2024, menurut pejabat itu.
Rayuan kemanusiaan bagi membantu 7.4 juta orang di Sudan Selatan tahun ini hanya mendapat pembiayaan separuh dengan kira-kira US$1 bilion diterima, memaksa agensi kemanusiaan mengurangkan separuh bekalan dan mengurangkan sokongan akibat pemotongan pembiayaan.
Dalam satu kenyataan bersama, penyelaras pencegahan dan tindak balas kebuluran PBB, Reena Ghelani dan pemangku penyelaras kemanusiaan PBB untuk Sudan Selatan, Martie Helene Verney berkata, dunia tidak boleh mengabaikan ketidakstabilan makanan dan kekurangan zat makanan di Sudan Selatan.
"Tahap ketidakstabilan makanan dan kekurangan zat makanan yang melampau menjadikan Sudan Selatan antara negara yang paling teruk terjejas di dunia," menurut kenyataan itu.
Kira-kira 25,000 orang termasuk ramai pelarian konflik di Sudan mengalami kebuluran yang teruk dan jumlah itu boleh meningkat kepada hampir 80,000 dalam tempoh beberapa bulan akan datang melainkan bantuan segera disalurkan, menurut kenyataan itu. - BERNAMA
#sudan selatan #kelaparan #kekurangan zat makanan #Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
;