Lebih separuh warga Britain kini mahu terus kekal dalam EU - Tinjauan pendapat
Agensi
Disember 17, 2017 14:03 MYT
Disember 17, 2017 14:03 MYT
Sebuah tinjauan pendapat mendapati 51 peratus warga Britain kini mahu negara mereka terus berada dalam keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) sementara 41 peratus pula mahu keluar dari blok tersebut, lapor Reuters.
Hasil tinjauan terbaharu itu dilihat bertentangan dengan keputusan referandum tahun lalu.
Tinjauan pendapat BMG dalam kalangan 1,400 orang itu, seperti yang disiarkan dalam laman web rasmi The Independent pada Sabtu, diperoleh ketika Britain dalam rundingan fasa kedua untuk keluar dari EU, yang memfokuskan soal perdagangan.
The Independent berkata, pungutan suara mereka yang mahu terus berada dalam EU mendahului mereka yang mahu ‘keluar EU’ adalah yang terbesar dalam sebarang pungutan suara setakat ini sejak undian pada Jun 2016.
Perubahan itu antara lain disifatkan sebagai peralihan pendapat dalam kalangan mereka yang tidak mengundi dalam referandum pada tahun lalu.
Dalam referandum tahun lalu, 52 peratus warga Britain mengundi untuk meninggalkan EU manakala 48 peratus memilih untuk terus kekal.
Perdana Menteri Theresa May minggu ini memeterai perjanjian dengan EU untuk meneruskan rundingan Brexit mengenai perdagangan dan hal-hal peralihan, namun beberapa pemimpin Eropah memberi amaran bahawa semua rundingan tersebut bakal menjadi lebih rumit.