Lebih separuh rakyat Jepun sokong perbelanjaan pertahanan ditingkatkan - Undian
Bernama
Oktober 12, 2022 17:52 MYT
Oktober 12, 2022 17:52 MYT
TOKYO: Lebih separuh rakyat Jepun menyokong peningkatan perbelanjaan pertahanan susulan pelancaran ujian peluru berpandu terbaharu oleh Korea Utara, manakala hanya sekitar satu pertiga responden menentang kenaikan itu, lapor Sputnik.
Tinjauan oleh penyiar Jepun NHK pada Rabu mendapati bahawa 55 peratus responden menyokong peningkatan perbelanjaan pertahanan, manakala 29 peratus menentang dan baki tidak membuat sebarang keputusan.
Bagi responden yang menyokong pelarasan bajet, 61 peratus bersetuju untuk pengurangan perbelanjaan terhadap bajet lain, 19 peratus berkata ia perlu dilakukan melalui terbitan tambahan bon kerajaan, dan 16 peratus percaya langkah itu boleh direalisasikan melalui kenaikan cukai.
Undian dijalankan dari 8-10 Oktober melalui teknik persampelan rawak dalam kalangan 1,247 warga Jepun yang berusia lebih 18 tahun.
Pada 4 Oktober, Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik melepasi wilayah Aomori di utara Jepun dengan ia mendarat di luar perairan wilayahnya.
Sejak awal 2022, Pyongyang melakukan 24 pelancaran peluru berpandu.
Korea Utara menekankan bahawa pelancaran peluru berpandunya sebagai tindak balas terhadap keengganan Amerika Syarikat dan sekutunya, iaitu Jepun dan Korea Selatan menghentikan latihan ketenteraan bersama.
--BERNAMA