Lebih sejuta penduduk Perancis sertai demonstrasi bantah reformasi pencen
Bernama
Januari 20, 2023 11:58 MYT
Januari 20, 2023 11:58 MYT
PARIS: Kira-kira 1.12 juta rakyat Perancis turun ke jalan raya di seluruh negara pada Khamis untuk membantah rancangan pembaharuan pencen kerajaan, lapor Xinhua.
Kesatuan terbesar Perancis CGT menganggarkan seramai dua juta orang terlibat dalam bantahan di seluruh negara itu.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis di Paris sahaja seramai 80,000 penunjuk perasaan menyatakan ketidakpuasan mereka.
Serentak itu, pekerja di beberapa sektor melancarkan mogok 24 jam. Mogok syarikat kereta api Perancis SNCF sahaja mencapai 46.3 peratus, mengakibatkan banyak pembatalan perkhidmatan serantau dan nasional.
Di wilayah Ile-de France, lokasi terletaknya Paris, sektor pengangkutan awam mengurangkan kekerapan metro dan trem.
Pada 10 Jan, Perdana Menteri Perancis Elisabeth Borne membentangkan butiran pelan pembaharuan pencen negara yang kontroversial yang akan meningkatkan umur persaraan daripada 62 kepada 64 tahun secara berperingkat menjelang 2030 dan akan menetapkan pencen minimum.
Borne memberitahu sidang akhbar bahawa mulai 2027, orang ramai perlu bekerja selama 43 tahun untuk layak mendapat pencen penuh.
-- BERNAMA