Lebih sedozen terbunuh dalam serbuan antidadah di Brazil
Bernama
Ogos 3, 2023 21:10 MYT
Ogos 3, 2023 21:10 MYT
BOGOTA (Colombia): Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh pada Rabu dalam siri terbaharu operasi antidadah di Rio de Janeiro, Brazil yang menyaksikan sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh sejak Jumaat, kata pihak berkuasa.
Operasi oleh pasukan keselamatan itu dilancarkan di Complexo da Penha, di utara Rio de Janeiro.
Pada Ahad, 16 terbunuh di negeri Sao Paulo dan 19 lagi dilaporkan terbunuh di negeri timur laut Bahia antara Jumaat dan Isnin, menurut Agensi Anadolu.
Operasi di Rio de Janeiro itu bertujuan "mencari dan menahan ahli kumpulan penjenayah" di wilayah itu.
"Pertempuran berlaku apabila pasukan polis diserang oleh lelaki bersenjata di tempat kejadian," kata jurucakap Polis Tentera Kolonel Marco Andrade.
Seramai 11 suspek cedera, sembilan maut, termasuk dua yang didakwa ketua kumpulan dadah, manakala senapang, peluru dan bom tangan turut dirampas.
Tumpuan serbuan polis itu adalah susulan kejadian pegawai polis tentera Patrick Bastos Reis ditembak mati minggu lepas semasa melakukan rondaan di perbandaran Guaruja, kira-kira 60 kilometer (37 batu) dari ibu negara, Sao Paulo.
Susulan itu, polis melancarkan 'Operasi Escudo' terhadap jenayah terancang, mengakibatkan 58 tangkapan dan peningkatan jumlah kematian yang mencetuskan reaksi daripada pelbagai kumpulan hak asasi manusia.
-- BERNAMA