Lebih ramai Rohingya lari ke Bangladesh susulan pertempuran etnik di Myanmar
Bernama
Februari 5, 2024 07:00 MYT
Februari 5, 2024 07:00 MYT
DHAKA: Pertempuran antara junta tentera dan kumpulan pemberontak yang semakin meningkat memaksa lebih ramai penduduk di Rakhine, Myanmar melarikan diri ke Bangladesh untuk mencari perlindungan dan makanan sekali gus mencetuskan gelombang baharu penghijrahan.
Ramai telah menyeberang ke kem pelarian Rohingya di tenggara Cox's Bazar yang menempatkan kira-kira 1.2 juta komuniti Islam dari Myanmar.
Seorang Majhi atau pemimpin masyarakat Rohingya di kem Cox's Bazar, Mohammad Nur Hashem, ketika dihubungi Agensi Berita Anadolu berkata ratusan etnik itu telah berkumpul di sepanjang sempadan Bangladesh di tenggara Bandarban dan Sungai Naf.
"Kami mengesahkan bahawa beberapa etnik Rohingya telah mencari perlindungan di kem-kem Kutupalong dan Balukhali di Cox's Bazar. Keadaan genting di Myanmar mencetuskan gelombang baharu ini," kata Hashem.
Ketua hak asasi manusia PBB, Volker Turk sebelum ini dilaporkan berkata konflik bersenjata yang berterusan antara junta Myanmar dan kumpulan bersenjata pemberontak memberi kesan besar kepada etnik Rohingya yang menderita.
Konflik yang berterusan itu merupakan konflik paling ganas di dunia dengan 2.6 juta penduduk kehilangan tempat tinggal dan lebih 18 juta memerlukan bantuan, menurut Armed Conflict Location and Event Data Project.
-- BERNAMA