Lebih ramai pekerja di Eropah diberhentikan ekoran unjuran ekonomi lemah

Bernama
Jun 19, 2023 23:27 MYT
Trend pengurangan tenaga kerja yang semakin meningkat sejak awal tahun ini memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 140,000 individu. - Reuters
BERLIN/LONDON: Inflasi semasa, yang telah mencapai tahap tertinggi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, serta kesan konflik Rusia-Ukraine yang berterusan terhadap landskap ekonomi, mempengaruhi syarikat untuk mengecilkan tenaga kerja masing-masing di Eropah.
Trend pengurangan tenaga kerja yang semakin meningkat sejak awal tahun ini memberi kesan kepada sekurang-kurangnya 140,000 individu, dengan sektor seperti telekomunikasi, teknologi maklumat, automotif dan peruncitan paling terjejas.
Walaupun kadar faedah bank pusat dinaikkan, inflasi yang berterusan tinggi dan tidak konvensional di tengah-tengah prospek ekonomi makro yang semakin lemah mendorong lebih banyak syarikat menyegerakan pemberhentian pekerja mereka bagi mengurangkan kos.
Walaupun Bank Pusat Eropah (ECB) telah mengambil langkah paling pantas dengan menaikkan kadar faedah sebanyak 400 mata asas sejak Julai 2022, kadar inflasi di zon Eropah mencecah 6.1 peratus bulan lepas.
Pemberhentian yang menular dalam hampir kesemua sektor sejak awal tahun ini termasuk keputusan Autoliv, sebuah syarikat yang berpangkalan di Sweden menamatkan perkhidmatan 8,000 pekerjanya baru-baru ini.
Stora Enso, pengeluar kertas dan pembungkusan Finland, akan menutup empat kemudahannya di Eropah dan memberhentikan 1,150 pekerja.
Bulan lepas, Vodafone syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di UK mengumumkan penamatan kerja 11,000 orang dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi mengurangkan kos dan mempercepat pertumbuhan.
BT, sebuah lagi syarikat telekomunikasi yang berpangkalan di UK, mengikut langkah Vodafone apabila mengumumkan untuk memberhentikan 40,000 hingga 55,000 pekerja menjelang 2030.
Menjelang 2030, jumlah guna tenaga gergasi telekomunikasi Britain itu akan berkurangan daripada paras semasa 130,000 kepada 75,000 hingga 90,000 atau pengurangan lebih 40 peratus daripada jumlah tenaga kerjanya.
Telekom Italia pula merancang memberhentikan 2,000 orang di Itali melalui program persaraan awal secara sukarela.
Kesan terhadap bidang automotif pula menyaksikan Stellantis, pengeluar automotif yang merangkumi jenama Vauxhall, Peugeot, Citroen, Fiat, DS, Jeep, Alfa Romeo, Maserati, Abarth dan Fiat Professional, mencapai persetujuan dengan kesatuan sekerja pada Februari untuk memberhentikan 2,000 pekerja melalui penamatan kerja secara sukarela dalam operasinya di Itali.
Pada Mac, kumpulan Volvo Sweden mengumumkan penyusunan semula operasi pengeluaran basnya di Eropah menyebabkan 1,600 pekerjaan ditamatkan.
Awal bulan ini, Volvo Cars mengumumkan syarikat berkenaan mengurangkan 1,300 lagi jawatan sementara di Sweden atau mewakili enam peratus tenaga kerja syarikat itu negara asalnya.
Syarikat penghantaran makanan Britain, Deliveroo pula mengumumkan pemberhentian 350 pekerja atau sembilan peratus jumlah tenaga kerjanya.
Penstrukturan semula kumpulan pasar raya British Sainsbury's yang diumumkan pada Februari akan menjejaskan 2,000 pekerja, dengan setakat ini 300 orang akan diberhentikan.
Just Eat, sebuah syarikat makanan dan penghantaran dalam talian yang beribu pejabat di UK, juga mengurangkan 1,870 pekerja, termasuk 1,700 kurier dan 170 pekerja pejabat.
Firma keselamatan siber Britain Sophos pula mengurangkan 450 orang di seluruh dunia manakala syarikat barangan pengguna Jerman Henkel juga memberhentikan 2,000 orang.
Rangkaian runcit British Wilko merancang menamatkan pekerjaan 400 orang manakala pengilang lif Finland Kone akan mengurangkan 1,000 orang, termasuk 150 di Finland.
-- BERNAMA
#Britain #pekerja diberhentikan #ekonomi #pekerjaan #eropah
;