Lebih ramai mati kelaparan berbanding perang di Gaza

Astro Awani
Januari 17, 2024 07:45 MYT
Masyarakat antarabangsa perlu bergerak pantas untuk mengelak senario sedemikian. - Foto fail/BERNAMA
DAVOS: Lebih ramai penduduk di gaza berkemungkinan mati akibat kebuluran berbanding peperangan.
Perkara ini disuarakan pengerusi dana pelaburan Palestin, Mohammed Mustafa di Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Beliau menambah, masyarakat antarabangsa perlu bergerak pantas untuk mengelak senario sedemikian, sambil berkata penyelesaian politik melalui penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat sebagai satu keperluan segera.
"Saya fikir penyelesaian politik adalah satu kemestian sekarang. Saya tidak fikir seseorang boleh mengelak tetapi melihat fakta dan faktanya penyelesaian ketenteraan tidak akan menyelesaikan masalah.
"Pendudukan tidak boleh diteruskan, tiada orang akan menerima untuk ditindas dengan cara rakyat Palestin telah ditindas. Jadi sudah tiba masanya untuk atasi punca masalah dan punca masalah adalah pendudukan.
"Kita perlu menamatkan penjajahan Israel ke seluruh bumi palestin, bukan sahaja di Gaza, tetapi juga di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur dan membenarkan rakyat Palestin membina negara mereka sendiri yang berdaulat dan merdeka," katanya.
Beliau turut mendesak Israel membantu merealisasikan matlamat negara Palestin untuk memastikan kestabilan dan kemakmuran mereka sendiri.
Beliau menyifatkan ia merupakan itu satu-satunya pilihan yang ada untuk mereka adalah membantu rakyat Palestin, negara jirannya hidup dengan aman dan sejahtera.
Peperangan itu telah menyebabkan kebanyakan 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka, sebahagian daripada mereka beberapa kali dan menyebabkan krisis kemanusiaan, dengan bekalan makanan, bahan api dan perubatan semakin berkurangan.
Setakat ini, serangan Israel telah membunuh lebih 24,000 orang dan mencederakan hampir 61,000 mangsa.
#Palestin #Gaza #Israel #kebuluran
;