Lebih banyak negara dijangka mempertikai status ‘negara’ Israel di PBB - Pakar

Irfan Faruqi
September 3, 2024 20:48 MYT
Perhimpuan Agung PBB (UNGA) akan bersidang pada 4 September akan datang. - REUTERS/Eric Thaye
KUALA LUMPUR: Lebih banyak negara dijangka mempertikaikan keabsahan Israel sebagai sebuah negara dan anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Ringkasan AI
  • Reaksi di PBB: Israel mungkin akan menghadapi masalah di PBB, termasuk tindakan duta-duta negara anggota yang keluar semasa wakil Israel bercakap.
  • Walaupun Pendapat Nasihat ICJ tidak mengikat, ia boleh digunakan oleh negara-negara yang tidak mengiktiraf Israel untuk memulakan tindakan terhadap jenayah yang dilakukan oleh Israel selama lebih 75 tahun.

Pensyarah Pusat Kajian Undang-undang Antarabangsa dan Siyar (CILAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Salawati Mat Basir berkata, ini lanjutan daripada Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang menyatakan pendudukan negara haram itu dalam wilayah Palestin bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
“Israel berkemungkinan akan berdepan dengan masalah di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) seperti yang kita lihat sekarang. Banyak duta-duta negara anggota PBB akan keluar semasa wakil Israel bercakap kerana mereka tahu yang bercakap itu 'sampah'.
“Akhirnya, saya nyatakan sangat penting keputusan tersebut walaupun ia tidak mengikat. Ia akan membuka langkah bagi negara lain yang tidak mengiktiraf Israel seperti Malaysia dan negara-negara Islam yang tidak bernormalisasi dengan Israel.
“Dalam hal ini, saya percaya akan ada negara yang akan menggunakan Pendapat Nasihat ini untuk memulakan tindakan kepada semua jenis tindakan jenayah yang dilakukan oleh Israel selama lebih 75 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Lebih banyak negara dijangka akan mempertikai status ‘negara’ Israel di PBB - Pakar
Salawati jelaskan bahawa undang-undang antarabangsa boleh memberi kesan secara undang-undang halus (soft law) atau undang-undang keras (hard law). Tambahnya, walaupun Pendapat Nasihat ICJ tidak mengikat, namun ia boleh dimanfaatkan pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan Israel.
“Meskipun ia (Pendapat Nasihat) ini dilihat sebagai undang-undang halus tetapi ada negara seperti Afrika Selatan dan negara-negara lain yang akan mula mencabar kesahihan Israel sebagai sebuah negara. Apabila Israel sebagai sebuah negara dicabar dan kemungkinan banyak negara lain akan turut serta,” ujarnya.
Perhimpuan Agung PBB (UNGA) akan bersidang pada 4 September akan datang.
#Mahkamah Keadilan Antarabangsa #ICJ #Israel #Palestin #PBB