Lebih banyak keganasan, kebuluran pada 2018
Reuters
November 30, 2017 04:17 MYT
November 30, 2017 04:17 MYT
Krisis kemanusiaan di seluruh dunia dijangka terus memburuk tahun hadapan dengan ancaman perang saudara di Afrika, kebuluran dan ancaman keganasan kumpulan militan berasaskan agama, lapor badan pemikir Geneva.
Laporan dikeluarkan oleh ACAPS, badan bukan berasaskan keuntungan yang membuat kajian terhadap 18 buah negara mendapati krisis kemanusian memburuk di kawasan konflik.
"Jika 2017 tidak kelihatan bagus, ramalan untuk 2018 tidak menunjukkan sebarang penambahbaikan: keadaan keganasan dan ketidakselamatan mungkin merosot di Afghanistan, Congo, Libya, Habsyah, Mali, Somalia dan Syria tahun depan," kata Pengarah ACAPS, Lars Peter Nissen dalam laporan berkenaan.
Laporan bertajuk Kemanusiaan, Analisis Krisis-krisis Utama 2018" itu turut meramalkan
Habsyah akan menyertai Nigeria, Somalia, Selatan Sudan dan Yaman sebagai negara yang menghadapi risiko kebuluran.
Pilihanraya yang dijangka akan diadakan di Afghanistan, Iraq, Libya, Selatan Sudan dan Venezuela tahun hadapan juga hanya akan menambahkan lagi ketegangan dan menyemarakkan keganasan.
Malah ekstremisme Islam juga akan terus mendatangkan kematian dan konflik, kata laporan itu lagi.
Walaupun kekalahan Daish di kubu-kubu utamanya di Iraq, kumpulan berkenaan dijangka meneruskan serangan-serangan untuk mengugat kerajaan, serta memperoleh kekuatan.
MIlitan Daish juga berkemungkinan mengukuhkan kedudukannya di Somalia, yang secara langsung memberi kesan terhadap orang awam.
Dalam satu laporan berasingan, Famine Early Warning Systems Network turut meramalkan kira-kira 76 juta orang merentasi 45 buah negara mungkin memerlukan bantuan makanan segera pada 2018.
Keadaan itu didorong oleh konflik, kemarau panjang di benua Afrika dan ramalan taburan hujan sedikit di rantau berkenaan tahun hadapan.
#2018
#ACAPS
#Afrika
#daish
#kebuluran
#kemarau
#konflik
#krisis kemanusiaan
#militan
#perang saudara
#ramalan