Lebih 9,000 penduduk dipindahkan dari Ukraine dalam tempoh 24 jam

Bernama
Mac 19, 2022 12:01 MYT
Seorang sukarelawan Anggota Angkatan Pertahanan Wilayah Ukraine membantu seorang wanita melintas jalan di Kharkiv, Ukraine, 16 Mac 2022, di tengah-tengah pencerobohan Rusia. - Gambar hiasan/AP
ANKARA: Seramai 9,145 orang dipindahkan melalui koridor kemanusiaan di Ukraine dalam tempoh 24 jam terakhir, lapor media Ukraine lewat Jumaat.
Sembilan koridor bantuan kemanusiaan dibuka pada Jumaat, lapor Agensi Anadolu memetik agensi berita negara Ukrinform.
"Seramai 4,972 orang, termasuk 1,124 kanak-kanak, dipindahkan dari tenggara wilayah Mariupol ke bandar tenggara Zaporizhia," kata Timbalan Ketua Pejabat Presiden Ukraine Kyrylo Tymoshenko dalam Telegram.
Sementara itu, 4,173 orang dipindahkan dari Wilayah Sumy, tambahnya.
Perang Rusia-Ukraine, yang bermula pada 24 Feb, mengundang kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow dan mendorong firma global menarik diri dari Rusia.
Sekurang-kurangnya 816 orang awam terbunuh dan 1,333 cedera di Ukraine sejak perang bermula, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sambil menyatakan angka itu mungkin lebih tinggi.
Lebih 3.27 juta orang juga melarikan diri ke negara jiran, kata agensi pelarian PBB.
-- BERNAMA
#koridor kemanusiaan #bantuan kemanusiaan #krisis Rusia-Ukraine #warga Ukraine pindah
;