Lebih 880,000 pelarian Syria pulang secara sukarela sejak 2017

Bernama
Mac 18, 2025 16:47 MYT
Jumlah rakyat Syria yang pulang secara sukarela, selamat, bermaruah, dan teratur antara 9 Disember 2024 hingga 16 Mac 2025 adalah 145,639 orang. - AP
ANKARA/ISTANBUL: Naib Presiden Turkiye, Cevdet Yilmaz pada Isnin mengumumkan bahawa seramai 145,639 rakyat Syria telah pulang ke tanah air mereka secara sukarela antara 9 Dis 2024 hingga 16 Mac 2025, menjadikan jumlah keseluruhan kepulangan sejak 2017 mencecah 885,642 orang, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam hantaran di platform X, Yilmaz berkata data berkaitan migrasi adalah dinamik dan boleh berubah setiap hari.
"Dalam ucapan saya semalam, saya berkata bahawa jumlah keseluruhan kepulangan sehingga 6 Mac adalah 873,000 orang.
"Menurut data dari Direktorat Pengurusan Migrasi, jumlah rakyat Syria yang pulang secara sukarela, selamat, bermaruah, dan teratur antara 9 Disember 2024 hingga 16 Mac 2025 adalah 145,639 orang, menjadikan jumlah keseluruhan dari 2017 hingga 2025 seramai 885,642 orang.
"Pada peringkat awal, kepulangan berlaku ke zon selamat yang kami wujudkan melalui operasi rentas sempadan.
"Kemudian, jumlah kepulangan meningkat dengan kejatuhan rejim diktator.
"Apabila situasi keselamatan, perkhidmatan asas dan persekitaran ekonomi di Syria semakin pulih dalam proses pembinaannya semula, jumlah ini dijangka meningkat lebih cepat," katanya.
Terdahulu, Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan menekankan bahawa kembali kepada kehidupan normal di Syria adalah amat penting.
"Tanpa pemulihan kehidupan normal, adalah mustahil bagi pelarian sama ada di Turkiye mahupun di negara jiran untuk kembali.
"Kini, kita menyaksikan beberapa perkembangan walaupun dalam skala kecil.
"Apa yang penting adalah memastikan dan mewujudkan keselamatan serta kestabilan," katanya.
Bashar al-Assad, yang memimpin Syria selama hampir 25 tahun melarikan diri ke Rusia selepas kumpulan anti-rejim mengambil alih Damsyik pada 8 Dis, menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.
Ahmed al-Sharaa, yang mengetuai pasukan anti-rejim dalam menggulingkan Assad, diisytiharkan sebagai presiden pada 29 Jan bagi tempoh peralihan.
-- BERNAMA
#pelarian #Suria #kejatuhan rejim #pulang secara sukarela
;