Lebih 842,000 kenderaan dijangka keluar dari metro Jakarta sempena Aidiladha

Bernama
Jun 14, 2024 14:27 MYT
Menurut Jasa Marga, kenderaan yang keluar dari kawasan metropolitan Jakarta, Bogor, Tangerang dan Bekasi, atau dikenali sebagai Jabotabek, hampir separuh dijangka menuju ke Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur. - Gambar hiasan
JAKARTA: Sekurang-kurangnya 842,227 kenderaan dijangka keluar dari kawasan metropolitan Jakarta, Bogor, Tangerang dan Bekasi, yang dikenali sebagai Jabotabek, mulai Jumaat hingga Selasa depan sempena sambutan Aidiladha, menurut pengendali lebuh raya PT Jasa Marga.
Jasa Marga menjangkakan peningkatan ketara dalam jumlah trafik yang keluar dari kawasan Jabotabek, dengan peningkatan dijangka 25.53 peratus berbanding trafik biasa, mencapai jumlah keseluruhan 670,913 kenderaan.
Peningkatan trafik dijangka bermula dari Tol Cikupa, menuju ke Merak di Banten dan memudahkan perjalanan ke Pulau Sumatera serta dari Tol Ciawi, trafik meningkat menuju Puncak di Bogor, Jawa Barat, kata jurucakap Faiza Riani dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tol Cikampek menghubungkan ke Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur manakala Tol Kalihurip menghubungkan ke Bandung, Jawa Barat, tambahnya.
"Kenderaan yang keluar dari Jabotabek, hampir separuh atau 48.63 peratus dijangka menuju ke Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur manakala 28.47 peratus dijangka menuju ke arah Merak, menghala ke Pulau Sumatera dan 22.91 peratus ke arah Puncak di Bogor," katanya.
Beliau berkata peningkatan trafik keluar mungkin berlaku pada Sabtu, dengan anggaran 195,966 kenderaan, menandakan peningkatan ketara 32.94 peratus berbanding jumlah trafik biasa.
Sebagai persediaan untuk lonjakan ini, Jasa Marga memastikan kesediaannya untuk menyokong usaha pengurusan trafik di bawah panduan polis, termasuk melaksanakan langkah aliran kontra, mengerahkan kakitangan dan memasang papan tanda sokongan.
-- BERNAMA
#Jakarta #jumlah kenderaan #aliran trafik #Aidiladha
;