Lebih 75 peratus rakyat Rusia percaya Putin - Tinjauan
Bernama
Disember 22, 2023 18:31 MYT
Disember 22, 2023 18:31 MYT
MOSCOW: Kira-kira 77 peratus rakyat Rusia mempercayai Presiden Vladimir Putin manakala 78 peratus lagi yakin dengan prestasi kerjanya, lapor Sputnik merujuk tinjauan pendapat terbaharu oleh Yayasan Pendapat Awam (FOM) Rusia yang dikeluarkan pada Jumaat.
Pada masa sama tinjauan itu mendapati 13 peratus responden tidak mempercayai Putin.
Sementara itu, 78 peratus rakyat Rusia yakin akan prestasi kerja presiden manakala kira-kira sembilan peratus berpendapat sebaliknya.
Tinjauan pendapat itu dijalankan dalam kalangan 1,500 responden di 53 wilayah Rusia pada 15-17 Dis, 2023. Margin kesilapan tidak melebihi 3.6 peratus.
Pada Disember, Parlimen Rusia menetapkan pilihan raya presiden akan diadakan dari 15-17 Mac, 2024.
Putin pada hujung bulan itu mengumumkan akan bertanding semula jawatan presiden Rusia.
--BERNAMA-SPUTNIK