Lebih 75 juta rakyat Amerika mengundi awal menjelang pilihan raya presiden
Bernama
November 3, 2024 14:47 MYT
November 3, 2024 14:47 MYT
WASHINGTON: Lebih 75 juta rakyat Amerika sudah mengundi awal dalam pilihan raya presiden AS, menurut data yang dikeluarkan lewat Sabtu.
Menurut Agensi Anadolu, angka dari penjejak Makmal Pilihan Raya Universiti Florida menunjukkan bahawa 75,093,872 orang mengundi sama ada melalui pos atau secara fizikal di pusat mengundi.
Lebih ramai pengundi memilih untuk mengundi secara fizikal berbanding melalui pos dalam pilihan raya presiden kali ini.
Jumlah pengundi berdaftar di AS adalah kira-kira 168 juta orang, berbeza dengan 2020 ketika negara itu dilanda pandemik COVID-19.
Calon presiden Demokrat, Kamala Harris, dan pencabarnya dari Parti Republikan, bekas Presiden Donald Trump, mengadakan perhimpunan di negeri-negeri penentu di selatan kurang dua hari sebelum pilihan raya.
Harris mengadakan perhimpunan di Atlanta, Georgia, dan menghadiri acara di Charlotte, North Carolina.
Trump berkempen di Gastonia, North Carolina, sebelum ke Salem, Virginia, dan kembali ke Greensboro, North Carolina.
Sementara itu, Harris dijangka menyertai program televisyen "Saturday Night Live" di New York City, lapor CNN, memetik sumber.
Tinjauan menunjukkan bahawa Harris dan Trump berada dalam persaingan sengit, terutamanya di tujuh negeri utama.
Negeri-negeri penentu ini penting kerana AS tidak memilih presiden secara langsung. Prosesnya berlaku melalui "Electoral College" , dengan 538 wakil mengundi berdasarkan keputusan negeri masing-masing.
Seorang calon perlu memperoleh 270 undi "Electoral College" untuk memenangi pilihan raya.
-- BERNAMA