Lebih 75,000 warga Palestin kehilangan tempat tinggal di barat daya Gaza - Pegawai PBB

Bernama
Ogos 11, 2024 12:24 MYT
Sebahagian daripada warga Palestin yang melarikan diri hanya mampu membawa anak-anak mereka bersama, ada yang membawa seluruh kehidupan mereka dalam satu beg kecil. - Reuters
ANKARA: Lebih 75,000 warga Palestin telah kehilangan tempat tinggal di barat daya Gaza dalam beberapa hari lepas, lapor Agensi Anadolu (AA) memetik Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).
"Selama beberapa dekad, orang awam Palestin sering terjebak dalam peperangan dan konflik," kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini di platform X pada Ahad.
"Hanya dalam beberapa hari lepas, lebih 75,000 orang telah kehilangan tempat tinggal di barat daya Gaza," katanya.
Lazzarini berkata pihak berkuasa Israel telah mengeluarkan perintah tambahan pada waktu malam yang memaksa lebih ramai orang melarikan diri, "berulang kali."
"Sebahagian daripada warga Palestin yang melarikan diri hanya mampu membawa anak-anak mereka bersama, ada yang membawa seluruh kehidupan mereka dalam satu beg kecil," katanya lagi.
"Mereka pergi ke tempat-tempat yang sesak di mana tempat perlindungan sudah penuh dengan keluarga-keluarga. Mereka telah kehilangan segalanya dan memerlukan segalanya," kata Lazzarini.
"Tidak seperti perang lain, penduduk Gaza terperangkap dan tiada tempat untuk pergi," katanya.
Tentera Israel mengeluarkan perintah pemindahan lewat Sabtu dan awal Ahad untuk penduduk di Semenanjung Gaza, yang terbaru dikeluarkan untuk "Zon Selamat Kemanusiaan" di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza, menurut Anadolu.
Ini menandakan kali ketiga dalam tempoh kira-kira seminggu tentera Israel telah memperluas perintah pemindahan di Khan Younis, dan mereka mengumumkan permulaan operasi ketenteraan pada Jumaat.
Walaupun terdapat rayuan pada Khamis daripada perantara, termasuk Mesir, Amerika Syarikat dan Qatar, untuk menghentikan persengketaan dan mencapai persetujuan gencatan senjata serta pertukaran tawanan, Israel terus dengan serangan maut ke atas Gaza, yang telah mengorbankan hampir 40,000 mangsa sejak Oktober lepas.
-- BERNAMA
#Palestin #kehilangan tempat tinggal #Gaza #Israel #Philippe Lazzarini