Lebih 720 orang awam maut di Kyiv, Ukraine
Bernama
April 13, 2022 12:06 MYT
April 13, 2022 12:06 MYT
KYIV : Lebih 720 orang awam terkorban dalam operasi ketenteraan Rusia di wilayah Kyiv, Ukraine, menurut Agensi Anadolu.
"Jumlah mayat yang ditemukan sudah melebihi 720 manakala 200 orang lagi dilaporkan hilang," lapor agensi berita Ukraine Ukrinform memetik kenyataan ketua polis Kyiv, Andrii Niebytov.
Susulan itu, lebih 3,000 prosiding jenayah telah dibuka di wilayah Kyiv sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraan pada 24 Feb, kata Niebytov.
Sekurang-kurangnya 1,892 orang awam terbunuh dan 2,558 cedera di Ukraine, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Angka sebenar dikhuatiri lebih tinggi.
Lebih 4.6 juta rakyat Ukraine telah melarikan diri ke negara jiran, dengan berjuta-juta lagi hilang tempat tinggal, menurut agensi pelarian PBB.
-- BERNAMA