Lebih 70 peratus rakyat Rusia percaya, positif prestasi Putin - Kaji selidik
Bernama
Ogos 4, 2023 19:46 MYT
Ogos 4, 2023 19:46 MYT
MOSCOW: Kaji selidik berasingan daripada Pusat Penyelidikan Pendapat Awam Rusia (VCIOM) dan Yayasan Pendapat Awam (FOM) yang diterbitkan pada Jumaat mendapati lebih 70 peratus penduduk Rusia mempercayai Presiden Vladimir Putin dan menilai prestasi profesionalnya secara positif.
Kaji selidik VCIOM mendapati 77.4 peratus rakyat negara itu mempercayai presiden manakala 18.4 peratus lagi menyatakan sebaliknya. Prestasi profesional Putin juga dipersetujui sebanyak 73.6 peratus responden manakala sebanyak 16.4 peratus tidak bersetuju.
Tinjauan pendapat itu dilakukan dalam kalangan 1,600 orang dewasa Rusia dari Mei-Julai melalui temu bual telefon. Dapatan kajian mewakili purata mingguan.
Dalam kaji selidik FOM, 75 peratus responden menyatakan mereka mempercayai Putin manakala 16 peratus lagi mengatakan sebaliknya dengan 9 peratus tidak pasti. Prestasi profesional Putin pula dipersetujui sebanyak 77 peratus dengan 13 peratus tidak menyetujuinya manakala 11 peratus lagi tidak pasti.
Kaji selidik itu dijalankan dalam kalangan 1,500 orang dewasa Rusia dari 28-30 Julai melalui temu bual secara persendirian.
-- BERNAMA