Lebih 60 wanita dan kanak-kanak perempuan berjaya larikan diri dari Boko Haram

Agensi
Julai 7, 2014 01:38 MYT
Kumpulan militan Boko Haram
Lebih dari 60 wanita dan kanak-kanak perempuan yang diculik oleh kumpulan militan Boko Haram di timur laut Nigeria bulan lalu dikatakan telah berjaya melarikan diri dari kumpulan terbabit, menurut sumber.
Seorang aktivis Abbas Gava berkata dia telah menerima khabar itu lewat Jumaat dari seorang dari rakannya yang memaklumkan dianggarkan 63 orang yang terdiri dari wanita dan kanak-kanak perempuan telah berjaya melepaskan diri dan pulang ke rumah masing-masing.
Satu sumber kanan pihak keselamatan di Borno, yang enggan mendedahkan namanya turut mengesahkan kejadian itu.
Gava memaklumkan kepada wartawan, mangsa culik terbabit berjaya melepaskan diri ketika kumpulan militan terbabit keluar bertempur.
“Mereka mengambil langkah berani dengan lari ketika penculik mereka keluar bertempur,” kata Gava.
Satu pertempuran diantara kumpulan itu dan tentera kerajaan turut dilaporkan meletus Jumaat lalu di Damboa dimana 50 anggota kumpulan terbabit terbunuh menurut tentera.
“Kini telah 83 hari sejak mereka diculik,” kata aktivis Aisha Yesufu yang mengetuai sekumpulan 50 anggota kumpulan aktivis itu berarak ke istana presiden di Abuja pada Ahad.
Kumpulan itu bagaimanapun telah dikerah berpatah balik oleh anggota keselamatan.
“Kami telah bersuara lebih 68 hari dan tiada pihak yang benar-benar mendengar keluhan kami,” Yesufu memaklumkan kepada wartawan.
Pakar-pakar keselamatan berpendapat kekurangan anggota tentera di pihak kerajaan tidak mampu menghalang kebangkitan kumpulan pemberontak Boko Haram yang dikatakan telah membunuh ribuan penduduk sepanjang kempen lima tahun memperjuangkan sebuah negara merdeka di utara negara itu.
#Boko Haram #Nigeria #penculikan