Lebih 60 penunjuk perasaan ditembak mati dalam insiden protes paling dahsyat Ukraine
Agensi
Februari 21, 2014 12:47 MYT
Februari 21, 2014 12:47 MYT
Lebih daripada 60 penunjuk perasaan ditembak mati ketika insiden protes yang paling dahsyat di Ukraine semalam.
Bilangan yang terkorban pada hari Khamis itu telah meningkatkan jumlah kematian kepada hampir 100 orang semenjak Selasa lalu.
Dalam satu laporan AFP, Presiden Ukraine Viktor Yanukovych dilihat bersedia untuk tunduk kepada salah satu tuntutan penunjuk perasaan untuk mengadakan pilihan raya awal.
Pemimpin-pemimpin German, Amerika Syarikat dan Rusia turut menyeru Ukraine untuk menghentikan pertumpahan darah.
Demonstrasi yang telah berlanjutan sejak tiga bulan lalu itu bertukar menjadi medan pertumpahan darah sejak Selasa malam.
Media pihak pembangkang mendakwa lebih daripada 60 penunjuk perasaan telah ditembak mati oleh polis pada hari Khamis sahaja dan pihak berkuasa Kiev menjumlahkan bilangan kematian tiga hari ialah 75.
Badan mayat yang penuh dengan kesan peluru bergelimpangan di sekitar Dataran Kemerdekaan di pusat bandar itu selepas penunjuk perasaan bertempur dengan pihak polis bersenjata dengan melontar bom Motolov.
Pasukan perubatan sukarelawan yang menjaga rumah mayat pula mendakwa polis menggunakan peluru hidup manakala Kementerian Dalam Ukraine menegaskan bahawa mereka berhak untuk menggunakan peluru hidup untuk mempertahankan diri.
Pembangkang sebelum ini mendesak kerajaan membebaskan 234 penunjuk perasaan yang ditahan manakala kerajaan Ukraine mahu penunjuk perasaan mengosongkan pejabat kerajaan yang ditawan mereka pada 1 Disember tahun lalu.
Antara tuntutan pembangkang mahu perjanjian perdagangan bebas dengan kesatuan Eropah (EU) ditandatangani selain mahu beberapa tahanan termasuk bekas Perdana Menteri Yulia Tymoshenko dibebaskan.
Mereka turut menuntut pilihan raya disegerakan.