Lebih 50 dikhuatiri maut akibat tanah runtuh di lombong jed

Afiq Ariffin
April 23, 2019 06:50 MYT
Usaha mencari mangsa kini sedang giat dilakukan. - Foto Zaw Moe Htet via AP
Sekurang-kurangnya 54 pelombong batu jed dikhuatiri maut dalam kejadian tanah runtuh di utara Myanmar.
Menurut polis, tanah runtuh di kawasan Kachin itu sangat besar sehingga menyebabkan "tasik lumpur" yang memusnahkan tempat tinggal pekerja lombong serta 40 kenderaan.
Menurut pihak berkuasa, tanah runtuh itu berlaku disebabkan oleh aktiviti perlombongan batu jed yang sering kali mengorbankan puluhan pelombong di Myanmar setiap tahun.
Seorang pegawai tempatan berkata proses pencarian mangsa di kawasan itu sangat sukar dan sehingga kini, hanya tiga mangsa berjaya ditemui.
Ahli parlimen kawasan tersebut, Tin Soe berkata kesemua mereka berkemungkinan maut kerana mereka tertimbus di bawah lumpur.
Dalam pada itu, Kementerian Dalam Negeri Myanmar telah mengenal pasti syarikat yang terlibat dalam kejadian tersebut iaitu Shwe Nagar Koe Kaung dan Myanmar Thura Gems.
Pengarah Myanmar Thura Gems, Hla Soe Oo, memberitahu agensi berita AFP bahawa dia kini berada dalam perjalanan ke tempat kejadian.
Usaha mencari dan menyelamat masih lagi giat dijalankan, kata pihak berkuasa.
#lombong #mangsa #maut #Myanmar #polis #tanah runtuh
;