Lebih 5,000 pekerja Starbucks di AS mogok, libat 300 kedai

Astro Awani
Disember 25, 2024 09:40 MYT
Mogok bermula pada Jumaat lalu selepas rundingan antara Starbucks dan kesatuan menemui jalan buntu. - Foto REUTERS
MOGOK pekerja Starbucks di Amerika Syarikat (AS) dijangka meluas ke lebih 300 kedai pada Selasa, dengan lebih 5,000 pekerja mengadakan mogok lima hari dan berakhir pada malam Krismas.
Starbucks, yang mengendalikan lebih 10,000 kedai milik syarikat di seluruh AS, menyatakan bahawa 98 peratus kedainya kekal beroperasi walaupun sekitar 170 kedai ditutup pada Selasa.
Bagaimanapun, kesatuan pekerja mendakwa lebih 290 kedai "ditutup sepenuhnya" dan lebih 300 kedai melancarkan mogok seperti yang dirancang di 45 negeri.
Mogok pada malam Krismas itu merupakan yang terbesar dalam sejarah rantai kedai kopi tersebut, menurut Starbucks Workers United.
Kesatuan kerja dalam satu kenyataan berkata, mogok ini adalah tanda awal kekuatan kesatuan dan ia baru sahaja bermula.
Kesatuan yang mewakili pekerja dari 525 kedai di seluruh negara itu telah mengadakan mogok di 12 bandar utama, termasuk New York, Los Angeles, Boston dan Seattle, sebagai protes terhadap isu gaji, kekurangan tenaga kerja dan jadual kerja.
Mogok bermula pada Jumaat lalu selepas rundingan antara Starbucks dan kesatuan menemui jalan buntu.
Starbucks enggan mengulas mengenai kesan keseluruhan mogok terhadap operasinya selepas sebelum ini menyatakan bahawa kesan mogok dijangka "sangat terhad".
Awal bulan ini, kumpulan pekerja menolak tawaran tanpa kenaikan gaji segera dan jaminan kenaikan gaji sebanyak 1.5 peratus pada tahun-tahun akan datang.
Kesatuan juga mendakwa bahawa Starbucks masih belum mengemukakan "cadangan ekonomi yang serius" kepada pekerjanya.
Starbucks sebelum ini mendakwa bahawa wakil kesatuan menamatkan sesi rundingan lebih awal daripada yang dirancang.
#Starbucks #mogok #Krismas #gaji
;