Lebih 46,000 penduduk di selatan Jepun diarah pindah akibat Taufan Mawar

Bernama
Jun 1, 2023 03:30 MYT
Keadaan ombak bergelora di laut susulan Taufan Mawar yang dijangka melanda kepulauan Okinawa di Itoman, selatan Jepun, 31 Mei 2023. (Foto AP)
TOKYO: Pihak berkuasa Jepun mengeluarkan arahan berpindah kepada lebih 46,000 penduduk bandar Nanjo di wilayah Okinawa ekoran Taufan Mawar kini menghampiri wilayah itu, lapor Sputnik.
Penduduk yang tinggal di kawasan pantai digesa berpindah ke tempat selamat susulan amaran bahaya tahap empat pada skala lima telah diisytiharkan.
Sementara itu, amaran bahaya tahap tiga diisytiharkan di kawasan bandar yang menggesa pemindahan segera warga emas dan mereka yang terhad pergerakan, lapor penyiar NHK pada Khamis.
Taufan Mawar yang sangat kuat kini berada di luar pantai Okinawa. Tekanan di tengah taufan mencecah 970 hektopascal dan angin melebihi kelajuan 30 meter sesaat (67 batu sejam), dengan tiupan sehingga 45 meter sesaat.
Mawar dijangka bertukar arah ke timur laut dan melepasi selatan bahagian utama Jepun dalam tempoh 24 jam akan datang.
-- BERNAMA
#Taufan Mawar #Jepun #pindah #amaran bahaya