Lebih 42 peratus penduduk Korea Selatan berusia 30-an masih bujang pada 2020

Bernama
September 27, 2021 18:25 MYT
Berdasarkan jantina, 50.8 peratus lelaki berusia 30-an belum berkahwin, sementara wanita bujang menyumbang 33.6 peratus. - Gambar hiasan/REUTERS
SEOUL: Lebih 42 peratus penduduk Korea Selatan, berusia 30-an masih belum berkahwin tahun lalu dan menunjukkan trend ramai orang muda sama ada lambat atau enggan berkahwin berikutan kelembapan ekonomi yang berterusan.
Daripada 13.7 juta individu bujang berusia 15 tahun ke atas pada tahun lalu, 2.82 juta adalah penduduk berusia 30-an, meningkat daripada 2.68 juta lima tahun sebelumnya, lapor Agensi Berita Yonhap memetik bancian 2020 oleh Statistik Korea.
Peratusan orang bujang berusia 30-an mencapai 42.5 peratus tahun lalu, meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding 36.3 peratus pada 2015.
Ini menandakan kali pertama ia mencecah 40 peratus tertinggi untuk kumpulan umur tersebut.
Berdasarkan jantina, 50.8 peratus lelaki berusia 30-an belum berkahwin, sementara wanita bujang menyumbang 33.6 peratus.
Ramai golongan muda Korea Selatan memilih untuk mengelak daripada tiga tanggungjawab utama kehidupan - berpasangan, berkahwin dan mempunyai anak - disebabkan tidak dapat mencari pekerjaan sesuai di tengah kelembapan ekonomi dan harga rumah yang melambung.
Sehubungan itu, negara itu kini sedang mengalami penurunan berterusan kadar kelahiran anak.
Tahun lalu, kadar kesuburan Korea Selatan bagi purata jumlah anak yang dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya mencapai tahap rendah 0.84, jauh lebih rendah berbanding tahap penggantian 2.1 yang akan menjadikan jumlah penduduk Korea Selatan stabil pada 51 juta.
Statistik itu juga menunjukkan pandemik COVID-19 mungkin mempengaruhi data perkahwinan.
Banci menunjukkan wanita dengan latar pendidikan tinggi kurang berkahwin dengan 22.1 peratus wanita memiliki ijazah sarjana masih bujang tahun lalu.
Jumlah penduduk yang berkahwin adalah 55.9 peratus, dan perceraian mencecah 5.8 peratus, meningkat 0.7 peratus berbanding lima tahun sebelumnya.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #bujang #belum berkahwin #kelembapan ekonomi #orang muda
;