Lebih 415,000 pelarian Gaza berlindung di sekolah PBB - UNRWA

Bernama
Disember 1, 2024 21:35 MYT
"Gaza secara keseluruhannya tidak selamat. Mereka merampas hak kami dari segi keselamatan dan perlindungan." - Foto: X UNRWA
GAZA: Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) mendedahkan pada Ahad lebih 415,000 rakyat Palestin yang menjadi pelarian, kini berlindung di bangunan sekolahnya di seluruh Gaza dengan ratusan ribu lagi berada dalam keadaan yang lebih teruk di tempat perlindungan sementara.
Dalam satu hantaran yang menyentuh hati di X (dahulunya Twitter), UNRWA berkongsi sebuah video oleh Aisha, seorang daripada wanita yang menjadi pelarian, melukiskan gambaran menyayat hati tentang kehidupan di tempat perlindungan sementara, menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA).
"Tempat ini sepatutnya untuk pendidikan, bukan untuk tempat tinggal," keluh Aisha, menggambarkan kekurangan keperluan asas seperti makanan, air dan keselamatan.
"Saya meninggalkan rumah saya yang cantik untuk datang ke tempat ini, yang tidak selamat dan terdedah kepada serangan bom pada bila-bila masa. Gaza secara keseluruhannya tidak selamat. Mereka merampas hak kami dari segi keselamatan dan perlindungan," katanya.
Menyorot cabaran unik yang dihadapi oleh wanita, Aisha menghurai ketiadaan kemudahan kebersihan asas dan kesan kemusnahan akibat perang.
"Kami, sebagai wanita Palestin yang hilang tempat berteduh, sedang menderita dengan teruk daripada segi cabaran kesihatan dan ekonomi. Adalah mustahil untuk memenuhi keperluan kebersihan asas, terutamanya semasa haid. Pada waktu seperti ini, seorang wanita hancur," katanya.
Aisha juga mengulas keadaan bangunan sekolah yang tidak sesuai, berkata, "Tempat ini penuh dengan serangga, lalat dan lipas dan kekurangan kemudahan asas. Kami memerlukan sokongan anda untuk menyediakan kehidupan yang bermaruah bagi wanita-wanita tidak bersalah yang terperangkap dalam perang ini."
Video dan kenyataan yang disertakan oleh UNRWA menekankan krisis kemanusiaan yang semakin buruk di Gaza dengan keluarga yang dipindahkan bergelut untuk bertahan hidup di tengah-tengah konflik yang semakin tegang dan bantuan antarabangsa yang terhad.
Agensi itu menggesa tindakan segera untuk menyediakan keadaan yang selamat dan berperikemanusiaan bagi mereka yang terjejas.
-- BERNAMA
#pelarian #Gaza #Palestin #sekolah #UNRWA #PBB
;