Lebih 4 juta kediaman, premis putus bekalan elektrik di Texas
Astro Awani
Februari 17, 2021 08:25 MYT
Februari 17, 2021 08:25 MYT
RIBUT musim sejuk telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Texas pada Selasa, mengakibatkan lebih empat juta kediaman dan premis terpaksa bergelap.
Susulan itu Texas membuka 37 pusat perlindungan kepada lebih 1,000 penghuni.
Datuk Bandar Sylvester Turner berkata, pusat pemanasan lain terpaksa ditutup kerana kehilangan kuasa.
Kira-kira 60 peratus penduduk di pinggir bandar Fort Bend County, sebelah barat Houston, tidak mempunyai bekalan kuasa elektrik pada pagi Selasa.
Ini menyebabkan beberapa penduduk di Richmond memanaskan badan di dalam kereta dan di luar rumah mereka.
Kematian juga dikesan di Texas, termasuk seorang wanita dan anaknya yang mengalami keracunan karbon monoksida akibat dari alat pemanas kereta yang dipasang di garajnya.
Sementara itu, salji lebat turun di pergunungan Utah.
Pihak Jabatan Perhubungan Utah melakukan pemantauan ke atas runtuhan salji di Little Cottonwood Canyon.
Agensi memberi amaran kepada pemandu kenderaan bahawa Canyon berkenaan ditutup kerana bahaya runtuhan salji dan kerja kawalan yang dilakukan.
Canyon di timur Salt Lake City menyediakan akses ke beberapa kawasan ski yang popular.
Dalam pada itu, penduduk di kawasan Chicago membersihkan jalan setelah ribut musim sejuk menyebabkan salji meninggi sehingga dua kaki di beberapa tempat.
Ribut salji itu dilihat sebagai satu ledakan cuaca mendadak pada Februari yang ditambah pula dengan sejuk beku.
Pihak berkuasa Chicago telah meminta penduduk untuk tidak keluar rumah kecuali atas tujuan memeriksa kejiranan mereka.
Bagaimanapun, ada yang memanfaatkan sebahagian besar salji dengan meluncur di bukit berhampiran.
#Salt Lake City
#Texas
#ribut
#musim sejuk
#Fort Bend County
#gangguan bekalan elektrik
#bekalan elektrik
#gangguan
#pusat perlindungan
#Sylvester Turner