Lebih 30 permohonan, BRICS bakal tentukan 'negara rakan' baharu - Putin
Luqman Hariz
Oktober 23, 2024 20:09 MYT
Oktober 23, 2024 20:09 MYT
KAZAN: Lebih 30 negara telah mengemukakan permohonan untuk menyertai BRICS.
Perkara itu disahkan oleh Presiden Rusia, Vladimir Putin sewaktu membuka sesi mesyuarat Sidang Kemuncak BRICS 2024 di sini hari ini.
Katanya, dunia tidak boleh memandang ringan minat kesemua negara ini untuk menjadi anggota blok tersebut.
“Hari ini kami akan membincangkan pelaksanaan dua keputusan penting yang dicapai pada Sidang Kemuncak terakhir di Johannesburg. Salah satunya adalah memperdalam kerjasama kewangan dalam BRICS.
“Satu lagi, tidak kurang pentingnya, adalah perluasan keanggotaan BRICS. Tidak wajar untuk kita mengabaikan minat yang ditunjukkan negara-negara timur dan selatan global untuk mengukuhkan hubungan mereka dengan BRICS.
“Lebih 30 negara telah menyatakan hasrat ini dalam pelbagai bentuk,” katanya.
Bagaimanapun pada masa yang sama, Putin berkata BRICS perlu mencari keseimbangan dalam keanggotaan, demi memastikan keberkesanannya tidak berkurangan.
“Di (Sidang Kemuncak) Johannesburg, kami bersetuju untuk membangunkan modaliti untuk kategori negara rakan BRICS, dan untuk menentukan negara yang layak diberikan status ini,” katanya.
BRICS ditubuhkan oleh Brazil, Rusia, India dan China pada 2009, sebelum disertai Afrika Selatan pada 2010.
Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu menjadi ahli terbaharu bermula 1 Januari 2024.
Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan hasrat negara untuk menyertai BRICS dalam perbualan bersama Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.
Untuk menjadi anggota BRICS, suatu negara perlu mendapat persetujuan semua negara anggota sedia ada.