Lebih 30 orang disyaki anggota kumpulan pengganas ditahan Polis Indonesia

Agensi
Februari 21, 2016 22:21 MYT
Lebih 30 anggota pengganas ditahan di Indonesia - Foto AFP
Kira-kira 30 orang ditahan di Gunung Sumbing, Jawa selepas terbabit dalam latihan ketenteraan yang disyaki dikelola oleh kumpulan pengganas manakala lima lagi ditahan dalam serbuan pada hari sama di kota Malang oleh Polis Indonesia pada Sabtu.
Penangkapan suspek masih belum diketahui sama ada berkaitan serangan bunuh diri di Jakarta tempoh hari ataupun siri serangan lain yang berlaku sebelum ini.
Sumber anggota polis anti-keganasan elit Indonesia, mengesahkan serbuan dibuat pada sesi latihan senjata yang diadakan di kawasan pergunungan tersebut.
Media tempatan pula melaporkan bahawa kumpulan 30 orang yang ditangkap itu terdiri daripada kumpulan pelampau Jamaah Ansharusy Syariah yang membuat latihan di Sumbing, di Jawa Tengah.
Jurucakap polis wilayah, Liliek Darmato dalam laporan yang dibuat Metro TV memberitahu, antara barangan yang dirampas termasuklah senjata api, buku-buku agama dan bendera.
Dalam serbuan berasingan di Malang, ketua polis tempatan, Yudho Nugroho mengesahkan penangkapan lima radikal Islam dengan bantuan pegawai dari skuad anti-keganasan elit.
Sebelum ini, serangan di Jakarta berdekatan kedai Starbucks dianggap sebagai ancaman keganasan terburuk untuk Indonesia dalam tempoh tujuh tahun.
#Indonesia #Pelampau Islam Indonesia #Polis Indonesia
;